Sabtu, 21 Mac 2009

**ReVoLuSi iRaN**

1.0 PENGENALAN

Iran adalah sebuah negara yang terletak di Asia Barat yang bersempadan dengan Soviet Union (sekarang Azebaijan) di bahagian utara, Afghanistan dan Pakistan di Timur serta Iraq dan Turki sebelah barat. Keluasan Iran adalah 1,643,000 kilometer persegi. Ibu kotanya adalah Teheran, berbahasa Parsi dan berbangsa Aryan. Penduduknya seramai 31,960,000 orang mengikut bancian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1974.
[1]

Buminya kaya dengan hasil minyak dan merupakan antara negara pengeluar minyak terbesar di dunia. Iran merupakan sebuah negara berfahaman Syiah, berlainan dengan kebanyakan negara-negara Islam lain yang berfahaman Ahli Sunnah Waljamaah. Imam bagi orang Syiah adalah mereka dari keturunan Ali yang dilantik serta diiktiraf menjadi pemimpin. Sebelum berlakunya Revolusi Iran 1979, Iran adalah sebuah negara monarki yang sekular. Namun setelah revolusi, Iran telah berubah menjadi sebuah negara yang berteraskan Islam. Revolusi Iran ini merupakan satu peristiwa yang besar pada abad ke 20, apabila rakyat Iran yang diketuai oleh ulama yang diketuai oleh Ayatollah Khomeini berjaya menjatuhkan sebuah kerajaan monarki yang mempunyai tentera yang kuat serta didokongi oleh Amerika Syarikat.

Matlamat utama revolusi ini adalah untuk menentang kekejaman yang dilakukan oleh pemerintah Reza Shah dan sekaligus menerapkan unsur-unsur keislaman dalam pentadbiran Iran. Kemenangan revolusi ini memberi kejutan kepada seluruh dunia kerana berjaya menumbangkan sistem beraja yang telah bertahta selama 25 tahun yang lalu.
[2] Revolusi ini menetapkan ciri-ciri Islam dan merupakan revolusi ke-3 yang terkenal selepas Revolusi Perancis pada tahun 1789 dan Revolusi Bolshevik 1917. Perjalanan Revolusi Iran amat sistematik. Langkah awal yang diatur oleh Khomeini dalam menggerakkan revolusi ini telah berjaya menyedarkan masyarakat akan kezaliman dan penindasan yang telah dilakukan oleh Shah terhadap rakyat Iran. Shah berjaya digulingkan pada 16 Januari 1979.

Revolusi ini terjadi kepada dua peringkat. Peringkat pertama bermula pada pertengahan 1977 hingga tahun 1979 yang dipimpin oleh pihak liberal, golongan haluan kiri dan kumpulan agama. Kesemua mereka memberontak menentang Shah Iran. Peringkat kedua yang turut dikenali sebagai Revolusi Islam menyaksikan naiknya
Ayatollah menjadi pemimpin revolusi

Revolusi ini telah menggunakan slogan radikal khususnya dalam menaikkan semangat masyarakat Tehran. Antaranya ialah “ death to the Pahlavis”, “ the such is a bastard”, “ throw out America”, “ independence freedom and Islam”, dan “ we want an Islamic Republic”. Kewujudan dan pembentukan Republik Islam Iran ini tentulah mendatangkan pelbagai kesan sama ada dari dalam mahupun dari luar.

2.0 BAGAIMANA TERCETUSNYA REVOLUSI IRAN.

2.1. 1940: Kemahkotaan Shah

Shah Mohammad Reza Pahlavi mula memegang kuasa pada tahun 1941, menggantikan ayahanda beliau, Shah Reza. Penggantian ini adalah menerusi rampasan kuasa oleh Inggeris dan Kesatuan Soviet yang menyebabkan Shah Reza terpaksa melarikan diri ke luar negara dan puteranya dipilih menggantikan beliau dengan harapan puteranya akan menjadi sekutu Inggeris dan Kesatuan Soviet. Shah Reza dikenali sebagai seorang yang nekad untuk memajukan negaranya tetapi pada masa yang sama bertindak kasar terhadap para ulama Iran. Pada tahun 1953, beliau melarikan diri keluar Iran apabila terjadi pergeseran antara beliau dengan Perdana Menteri Iran, Mohammad Mossadegh. Pergeseran ini berpunca daripada polisi Mohammad Mossadegh yang ingin memiliki negara yang dipenuhi lapangan minyak Iran ini dan meletakkan kuasa tentera di bawah penguasaan beliau. Melalui kudeta yang dibantu oleh CIA dan M16 (Operasi Ajax), Mossadegh berjaya digulingkan dan Shah kembali berkuasa.

Seperti ayahanda beliau, Shah Pahlavi meneruskan permodenan Iran. Beliau menjalinkan hubungan yang rapat dengan Amerika dan beberapa negara-negara barat lain dan sering kali mendapat pengiktirafan daripada Amerika kerana pendirian beliau yang menentang komunis. Namun begitu, pihak pembangkang yang terdiri daripada kumpulan berhaluan kiri, nasionalis, dan ulama selalu mengeluarkan kritikan kerana pemerintahan beliau melanggari perlembagaan Iran. Selain itu, rasuah dalam politik berleluasa dan juga tekanan politik menerusi badan perisikan beliau iaitu SAVAK.

2.2. 1960: Naiknya Ayatollah Khomeini

Ayatollah Khomeini, pemimpin revolusi Iran ini mula menampilkan dirinya dalam arena politik sekitar awal tahun 1963. Beliau mengetuai kumpulan pembangkang menentang kerajaan Shah dan rancangan Revolusi Putih beliau. Antara perkara-perkara yang diperdebatkan oleh Ayatollah ialah hak mengundi untuk perempuan, perubahan undang-undang pilihan raya yang membenarkan kumpulan agama minoriti memegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan perubahan dalam undang-undang perkahwinan. Kemudiannya, beliau mengisytiharkan Shah telah "memulakan proses kehancuran Islam di Iran".

Disebabkan oleh pengisytiharan beliau, Khomeini ditangkap pada 5 Jun 1963 dan 3 hari selepas itu rusuhan berlaku di seluruh Iran. Pihak polis bertindak balas dengan menggunakan kekerasan terhadap perusuh-perusuh ini. Menurut laporan daripada kerajaan Pahlavi, seramai 86 orang terbunuh. Penyokong Khomeini pula mendakwa sekurang-kurangnya 1500 terbunuh. Manakala pihak polis yang dibentuk selepas revolusi mengumumkan lebih daripada 380 orang terkorban. Khomeini ditahan di rumah beliau selama 8 bulan dan kemudiannya dibebaskan. Setelah pembebasan beliau, Khomeini meneruskan kegiatan beliau mengkritik Shah terutamanya mengenai hubungan rapat Shah dengan Israel dan juga "penganugerahan" imuniti diplomatik pegawai tentera Amerika di Iran. Pada November 1964, Khomeini sekali lagi ditangkap dan kali ini beliau dibuang negeri selama 14 tahun dan kembali semula ketika revolusi.
Selepas buangan Ayatollah, tentangan terhadap Shah ditekan atau disekat oleh
SAVAK dan ini menghasilkan keadaan tenang buat seketika. Namun, pada masa yang sama, terdapat gerakan pemulihan Islam dan gerakan ini mendapat sokongan yang jauh lebih hebat daripada proses permodenan Shah. Idea Khomeini mengenai negara Islam di dalam tulisan beliau, wilayat al-faqih mendapat sambutan yang hebat. Menurut Khomeini, umat Islam haruslah mengaplikasikan undang-undang syar’i dan untuk menguatkuasakan undang-undang ini, kerajaan Islam haruslah diperintah oleh ulama. Walaupun Khomeini jarang menyentuh mengenai buku ini dalam temu ramah beliau di luar negara tetapi di Iran, ia disebarkan dengan meluasnya. Buku ini kemudiannya menjadi sumber inspirasi dalam pemberontakan rakyat Iran terhadap Shah Reza.

2.3. 1978: Tercetusnya Revolusi

Bangkangan terhadap pemerintahan Shah dimulai dengan kumpulan-kumpulan liberal daripada kelas pertengahan dan berpusat di kawasan-kawasan bandar. Golongan ini lebih sekular dan mempraktikkan Islam secara sederhana. Namun begitu tujuan protes mereka hanyalah supaya kerajaan Shah Mohammad berpegang kepada Perlembagaan Iran 1906, dan bukannya kepada undang-undang Sharia. Mehdi Bazargan adalah antara pemimpin yang paling aktif dalam bangkangan ini. Beliau memimpin Gerakan Iran Merdeka yang berkait rapat dengan bekas perdana menteri Iran, Mohammed Mossadegh. Gerakan ini mendapat sokongan padu dari dalam dan luar Iran.

Ulama-ulama Iran pula terbahagi kepada dua kumpulan iaitu ulama-ulama yang menyokong kumpulan sekular liberal dan kumpulan kedua menyokong gerakan komunis Marxists. Khomeini pula yang ketika itu sedang didalam buangan berkerja keras untuk menyatukan golongan ulama, golongan sekular, liberal dan pembangkang dan meletakkan mereka semua dibawah pimpinan beliau.

2.4. Januari 1978: Demonstrasi Utama Pertama

Demonstrasi pertama menentang Shah dimulakan dengan kumpulan mahasiswa Islam pada Januari 1978. Kerajaan Shah mengutuskan pihak tentera untuk menguraikan demonstrasi dan keputusan ini menyebabkan beberapa mahasiswa-mahasiswa terbunuh.

Mengikut tradisi Shia, sebuah majlis peringatan dilakukan setelah 40 hari kejadian itu berlaku dan ianya dilakukan di masjid-masjid di seluruh Iran. Pada 18 Februari, beberapa demonstrasi dilakukan di seluruh Iran bagi memberi penghormatan kepada korban mahasiswa-mahasiswa itu dan juga untuk memprotes kekejaman Shah. Akhirnya, pergeseran tercetus di Tabriz dan ratusan penunjuk perasaan terbunuh. Perkara yang sama turut terjadi pada 29 Mac dan kali ini di seluruh Iran. Kebanyakan bangunan-bangunan dan pejabat-pejabat milik rejim Shah dirobohkan dan dimusnahkan, dan sekali lagi, ratusan nyawa terkorban.

2.5. Mei 1978: Ayatollah Shariatmadari Menyertai Kumpulan Pembangkang

Pada bulan Mei, beberapa pegawai kerajaan menceroboh masuk rumah Ayatollah Kazem Shariatmadari, salah seorang ulama Iran yang cukup berpengaruh. Pegawai kerajaan itu menembak mati salah seorang daripada pengikut Ayatollah Shariatmadari. Sebagai tindak balas, beliau menyertai barisan pembangkang menentang Shah.

Dalam masa yang sama, Shah Mohammad cuba menenangkan kumpulan pembangkang dengan merendahkan kadar inflasi, memohon maaf kepada para ulama dan memecat ketua SAVAK juga menjanjikan pilihan raya umum bebas pada bulan Jun. Tetapi rancangan inflasi yang mengurangkan belanja kerajaan menyebabkan ramai perkerja-pekerja awam terutamanya daripada golongan muda dan kurang mahir dipecat. Pada musim panas 1978, warga buruh ini berarak di jalanan memprotes polisi ini. Pada bulan November berikutnya, pekerja-pekerja lain pula melancarkan mogok dan ini menyebabkan ekonomi iran ketika itu lumpuh.

2.6. Shah Meminta Bantuan Amerika

Perbincangan Shah Iran dengan Alfred Atherton, William Sullivan, Cyrus Vance, President Carter, dan Zbigniew Brzezinski, 1977. Shah Mohammad Reza Pahlavi kini berhadapan dengan situasi revolusi. Lantas, beliau meminta bantuan daripada Amerika untuk menyokong beliau. Amerika pula ketika ini memerlukan Iran kerana ia terletak di Teluk Parsi dan kaya dengan sumber minyak. Malahan, Iran bersempadan dengan Kesatuan Soviet menjadikannya sebuah lokasi yang strategik bagi Amerika kerana ia dapat menolong Amerika dalam Perang Dingin. Namun begitu, imej Shah Iran telah tercemar dengan polisi kerajaan beliau yang mencabuli hak asasi manusia. Duta Amerika ke Iran, William H. Sullivan, menyatakan bahawa Penasihat Keselamatan Amerika, Zbigniew Brzezinski "telah berulang kali menyakinkan Shah Mohammad Reza yang Amerika akan membantu beliau". Presiden Amerika ketika itu, Jimmy Carter didakwa telah gagal mengotakan janji Amerika ini. Pada masa yang sama, beberapa pegawai tinggi Amerika menyuarakan cadangan bahawa kepimpinan Iran haruslah digantikan bagi meredakan revolusi dan Shah Mohammad Reza haruslah turun takhtah. Tetapi rencana ini terbantut setelah Ayatollah Khomeini mengambil alih kuasa memerintah Iran.

2.7. Ogos 1978: Serangan Pembakaran Abadan

Ketika keadaan Iran di dalam kekabutan, sebuah panggung wayang di Abadan, Panggung Wayang Cinema Rex Fire, dibakar menyebabkan 400 nyawa terkorban. Para revolusi menyalahkan SAVAK dan mendakwa badan itu bertanggungjawab terhadap kejadian ini. Mereka mendakwa kebakaran ini sengaja dilakukan untuk menjerat kumpulan revolusi Islam. Keesokannya, seramai 10,000 saudara mara mangsa korban berkumpul di majlis pengebumian sambil melaungkan bantahan mereka terhadap Shah Mohammad.

2.8. September 1978: Jumaat Hitam (Black Friday)

Pada bulan September, seluruh negara kini mengalami ketidakstabilan. Protes terhadap Shah menjadi rutin setiap hari. Shah Mohammad pula menguatkuasakan pemerintahan tentera dan melarang semua demonstrasi. Pada hari Jumaat 8 September, sebuah rusuhan tercetus di Tehran. Kumpulan ulama mendakwa bahawa "ribuan nyawa dibunuh oleh kumpulan zionis". Kumpulan tersebut sebenarnya adalah etnik Kurdi dan jumlah korban pula adalah sekitar 700 nyawa. Sebuah mogok umum dilaksanakan pada bulan Oktober yang terus melumpuhkan ekonomi Iran dan menyebabkan banyak industri utama terpaksa diberhentikan. Pada tahap ini, "takdir Shah Mohammad Reza telah pun ditentukan"

2.9. Disember 1978: Protes Muharram

Protes Muharram 1978 terjadi pada bulan Disember tahun yang sama. Pada 2 Disember, seramai dua juta rakyat Iran memenuhi jalan-jalan di Tehran, sekitar Dataran Azadi. Protes adalah untuk mendesak Shah Mohammad turun takhta dan membenarkan Khomeini kembali semula ke Iran.

2.10. 1979: Shah Melarikan Diri Dan Kejayaan Revolusi

Pada 16 Januari, 1979, Shah Mohammad dan permaisuri beliau meninggalkan Iran atas nasihat perdana menteri beliau, Dr. Shapour Bakhtiar dan beberapa jam kemudian, semua simbol Shah Mohammad dirobohkan oleh penduduk awam. Dr. Shapour kemudiannya membubarkan SAVAK, membebaskan tahanan politik, menjanjikan pilihan raya umum bebas dan membenarkan demonstrasi awam semula. Beberapa hari selepas itu, beliau membenarkan Ayatollah untuk pulang ke Iran. Beliau turut meminta agar kumpulan revolusi lain untuk memelihara semula perlembagaan Iran.

2.11. Februari 1979: Khomeini Pulang Ke Tehran

Pada 1 Februari, 1979, Khomeini pulang semula ke Iran. Kepulangan beliau disambut dengan meriahnya oleh ribuan rakyat Iran. Namun begitu, Khomeini tidak bersetuju dengan kerajaan Shapour menyebabkan berlakunya konflik bersenjata antara penyokong Khomeini (termasuklah beberapa bahagian tentera Iran) dengan penyokong Shapour. Penyokong revolusi-Khomeini dan tentera yang berpihak kepada revolusi mula menguasai balai polis, markas tentera dan mengedarkan senjata kepada penduduk awam. Pada 11 Februari, kerajaan Shapour kalah dalam konflik ini apabila Majlis Agung Tentera mengumumkan bahawa ianya berpendirian neutral untuk mengelakkan berlakunya pertumpahan darah.

2.12. Khomeini Mengambil Alih Kuasa

Ayatollah Khomeini adalah pemimpin dalam gerakan menentang Shah Mohammad Reza. Kini bermulalah fasa kedua revolusi Iran yang turut dikenali sebagai Revolusi Islam. Ketika zaman pemerintahan Shah, kesemua kumpulan revolusi yang terdiri daripada golongan agama, liberal, sekular, Marxist dan Komunis bergabung untuk menentang Shah Mohammad. Tetapi kini, setelah beliau ditumpaskan, ikatan ini dibubarkan.

Setiap kumpulan revolusi ini bersaing untuk pengaruh dan juga mempunyai intepretasi yang berbeza mengenai negara Iran yang dibentuk. Ketika tahun pertama revolusi, terdapat dua kuasa yang memerintah Iran iaitu kerajaan rasmi Iran dan kerajaan revolusi. Mehdi Bazargan, Perdana Menteri Iran yang dilantik oleh Khomeini (dari kumpulan revolusi) memperkenalkan sebuah kerajaan demokratik baru. Pada masa yang sama, dalam kerajaan Iran, Khomeini menubuhkan Majlis Revolusi yang ahlinya terdiri daripada para ulama yang menyokong beliau. Majlis ini semakin lama menjadi semakin berkuasa dalam kerajaan Iran sehinggakan kesemua keputusan kerajaan Iran ditentukan oleh badan ini.

Pada bulan Jun, Gerakan Kebebasan membentuk sebuah draf perlembagaan yang menjadikan Iran sebuah Republik Islam. Draf ini turut merangkumi Majlis Pelindung yang mempunyai kuasa veto mengenai undang-undang bukan Islam. Walaupun begitu, Ayatollah Khomeini menolak draf ini dengan alasan bahawa kerajaan baru ini haruslah berdasarkan "100% undang-undang Islam".

Oleh itu, sebuah perlembagaan baru dibentuk oleh Majlis Pakar yang membentuk jawatan Pemimpin Agung untuk Khomeini. Kuasa Pemimpin Agung mengikut perlembagaan ini meliputi kuasa ketenteraan dan keselamatan, dan juga kuasa veto untuk calon politik. Turut dibentuk ialah jawatan Presiden. Kuasa presiden pula kurang meluas berbanding dengan Pemimpin Agung dan beliau akan dilantik melalui pilihan raya umum yang diadakan setiap empat tahun sekali. Perdana Menteri Mehdi tidak bersetuju dengan perlembagaan baru ini kerana kekuasaan presiden yang terbatas, lalu beliau meletak jawatan.

Ayatollah Ruhollah Musavi Khomeini (Bahasa Parsi: روح الله موسوی خمینی Rūḥollāh Mūsavī Khomeynī) (17 Mei 1900 - 3 Jun 1989) adalah seorang ulama Shia muslim dan pemimpin Revolusi Iran pada tahun 1979. Beliau berjaya menyingkirkan Shah Mohammad Reza Pahlavi dan kerajaan kuku besi Shah Mohammad. Seterusnya Khomeini mengasaskan Republik Islam Iran dan menjadi Pemimpin Agung pertama sehinggalah kewafatan beliau.

3.0 SEBAB-SEBAB BERLAKUNYA REVOLUSI IRAN

Terdapat beberapa peristiwa pada tahun 1970-an yang menyebabkan tercetusnya revolusi. Antaranya ialah layanan mewah kerajaan kepada rakyat asing sedangkan ramai rakyat tempatan hidup melarat, kadar inflasi yang melonjak tinggi diikuti dengan jurang antara kaya dan miskin yang semakin besar, sikap sekularisme Shah Mohammad Reza dan juga dakwaan bahawa SAVAK merupakan punca kematian pemimpin Islam yang berfikiran moden, Ali Shariati dan juga penglibatan SAVAK dalam kematian putra Khomeini, Mostafa (di Tehran).

3.1 Layanan mewah kerajaan kepada rakyat asing.

Pada Oktober 1971, terdapat sebuah sambutan untuk ke 2500 bagi meraikan pengasasan negara Parsi. Sambutan ini diadakan selama tiga hari di Persepolis dan tetamu-tetamunya hanyalah warga-warga asing. Ini merupakan sebuah pesta yang menelan belanja yang tinggi (dianggarkan menelan belanja sekurang-kurangnya $100 juta) Hidangan untuk pesta itu pula disediakan oleh tukang masak yang dibawa dari Paris. Pada masa yang sama, kawasan sekitar Persepolis iaitu wilayah Sistan dan Baluchestan mengalami kemarau yang teruk dan ramai penduduk di kawasan itu dan Iran umumnya hidup kelaparan.

3.2 Kadar inflasi yang melonjak tinggi diikuti dengan jurang antara kaya dan miskin yang semakin besar.

Pada lewat 1974, berlaku peningkatan harga minyak di pasaran dunia. Namun begitu, kesannya kepada Iran adalah sebaliknya. Tahap inflasi melonjak naik dan jurang antara yang kaya dan miskin dan juga antara penduduk bandar dan luar bandar semakin besar. Lebih memburukkan keadaan, kerajaan Iran menghabiskan ratusan juta bagi membiayai pekerja-pekerja pakar asing dan juga membeli pelengkapan tentera daripada Amerika yang ternyata tidak berguna ketika itu dan ianya satu pembaziran.

3.3 Sikap sekularisme Shah Mohammad Reza.

Pada tahun 1976, jentera kerajaan Shah menaikkan kemarahan penduduk Islam Iran kerana mengubah kalender Iran daripada kalender Hijrah kepada kalender solar Iran yang pernah digunakan ketika zaman Cyrus Agung. Pada tahun yang sama, Shah mengumumkan rancangan penjimatan ekonomi yang bertujuan untuk mengurangkan tahap inflasi. Kesannya, ramai rakyat Iran yang hilang pekerjaan dan ramai yang jatuh miskin dan bermigrasi ke kota besar meningkat.

Jimmy Carter, presiden Amerika pada tahun 1977 mengutuskan sebuah peringatan kepada Shah Mohammad mengenai betapa mustahaknya hak kebebasan dan kebebasan berpolitik. Shah kemudiannya membalas peringatan ini dengan mengampuni 357 tahanan politik pada bulan Februari tahun yang sama. Beliau juga turut membenarkan Persatuan Palang Merah untuk melawat penjara tahanan politik. Ini merupakan permulaan liberalisasi oleh Shah. Pihak liberal kemudiannya mengeluarkan seutus surat mengecam rejim beliau.

3.4 Dakwaan bahawa SAVAK merupakan punca kematian pemimpin Islam dan kematian putra Khomeini

Tahun yang sama juga turut menyaksikan kematian seorang ahli politik yang penting iaitu Ali Shariati. Beliau adalah seorang pemimpin Islam moden dan kematian beliau didakwa didalangi SAVAK. Pada Oktober pula, putra Khomeini, Mostafa meninggal dunia. Walaupun punca kematian adalah serangan sakit jantung, tetapi terdapat desas desus mengatakan kematian beliau juga merupakan antara rancangan SAVAK (organisasi penyiasatan rahsia yang terhandal di kawasan Asia Barat. Ia adalah pertubuhan yang kejam dan sangat berkesan ketika ia ditubuhkan oleh Teymur Bakhtiar, dan selepas ia disingkirkan badan itu berganda-ganda kekuatannya).[3]

4.0 LATAR BELAKANG AYATOLLAH KHOMEINI

Nama sebenar Ayatollah Khomeini ialah Ayatollah Rauhallah Khomeini Ibn Mustafa Musawi al-HindiAyatollah Khomeini dilahirkan di Khomeini, sebuah kampung yang terletak kira-kira 180 batu ke selatan Tehran iaitu ibu negara Republik Iran, pada 24 September 1902 bersamaan 20 Jamadil Akhir 1320H. Ayah Khomeini iaitu Seyyed Mostafa telah terbunuh di dalam pertikaian soal sempadan atau air ketika Khomeini berusia 5 bulan. Beliau dibesarkan oleh pakciknya iaitu Seyyed Allameh Morteza Musavi Parvaresh. Ketika beliau berusia 15 tahun, beliau telah dihantar ke Arak untuk meneruskan pengajian agamanya. Di Arak, beliau berguru dengan Abdol- Karim Ha’eri- Yazid yang merupakan salah seorang ulama Syiah dan ahli teologi. Abdol- Karim Ha’eri-Yazid adalah anak murid kepada Ayatollah Mirza Hassan Shirazi yang terlibat di dalam protes tembakau pada tahun 1981.
[4]

Khomeini telah didedahkan dengan pembelajaran undang-undang Islam serta pendedahan terhadap hasil karya ahli falsafah Greek iaitu Aristotle dan Plato. Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran dalam ilmu Islam dan Sains Sosial di Theological Centre of Qom. Ayatollah Khomeini kemudiannya menjadi seorang ulama yang dihormati dan beliau telah menulis beberapa buah buku seperti Misbah al-Hidayah (1929), Kashyaf al-Ansar (1941). Pada tahun 1945 beliau mendapat gelaran “Hujjatul Islam”. Khomeini mendapat gelaran Ayatollah apabila beliau menulis sebuah buku berjudul Tanzih al-Mazil. Ayatollah Khomeini meninggal dunia pada 18 Jun 1989.

Khomeini dikenali sebagai pemimpin tertinggi dimana beliau sememangnya disegani dan dikatakan sebagai pengasas negara Islam iaitu Iran. Beliau merupakan pemimpin Revolusi Islam yang dikenali sebagai Mustadza’afin (ketua golongan tertindas) dan digelar Wali Allah yang menunjukkan sumbangan besar beliau terhadap Republik Iran dan masyarakat Islam sejagat. Khomeini dikenali sebagai pahlawan atau pejuang Islam yang unik dan hebat. Beliau telah menggerakkan revolusi ini tanpa pergantungan kepada senjata atau mengharap segala bantuan dari pihak Barat atau dari pihak Timur tetapi revolusi ini adalah berlandaskan kepada semangat orang Muslim Iran di dalam menentang sistem pemerintahan Shah.

5.0 PERANAN KHOMEINI DALAM MENGGULINGKAN PEMERINTAHAN SHAH

5.1 Menyatukan dan Mengetuai rakyat Iran menentang Shah.

Khomeini memainkan peranan yang paling penting dalam menyatukan dan mengetuai rakyat menentang Shah. Peranan Khomeini dalam menggulingkan pemerintahan Shah jelas dilihat apabila Shah mengumumkan mengenai pemberian tanah pusaka kepada sesiapa yang menyokongnya. Pada saat ini Khomeini lebih banyak menonjol penentangannya, jadi dengan cepatnya kepopularannya tersebar. Dalam perjuangan beliau menentang pemerintahan Shah, semua pihak penentang telah bersetuju menjadikan Ayatollah Khomeini sebagai pemimpin revolusi. Ini terbukti apabila para pembentang Shah yang terdiri daripada kaum agama (mullah), nasionalis, gerila maxis, pedagang Bazaar, mahasiswa, golongan miskin, dan sebagainya telah bersatu di bawah Khomeini kesan daripada kuatnya pengaruh Syiah di kalangan masyarakat Iran.
[5]

Selain itu, Khomeini juga berjaya menentang Shah disebabkan beliau dianggap sebagai pejuang yang tidak mengenal kompromi di dalam menentang monarki. Sewaktu Iran dibawah kekuasaan Reza Shah lagi, Khomeini telah berjuang menentang monarki. Tahun 1941, Khomeini menulis buku berjudul Kasyaf al-Asrar (mengungkap rahsia) yang berisi kritikan tajam terhadap Reza Shah.
[6] Sokongan yang diterima oleh Khomeini dapat dilihat apabila banyak slogan yang telah dikeluarkan oleh pengikutnya “semoga dipanjangkan umur Khomeini dan supaya Shah akan menemui ajalnya”

5.2 Melancarkan kempen anti- Shah.

Bermula pada Mac 1963, bertempat di Madrasah Fayieyah di Qom, Khomeini telah mengkritik Revolusi Putih yang dilancarkan oleh Shah kerana hanya berjaya memperkukuhkan kedudukan golongan kaya dan mereka yang rapat dengan istana sahaja. Tindakan Shah ini telah mencabul perlembagaan Iran dan sumpah Shah sendiri iaitu semasa menaiki tahta beliau mahu memelihara dan membela Islam.
[7] Pada 5 Jun 1963, Khomeini telah melancarkan kempen anti Shah secara besar-besaran. Kempen ini telah membangkitkan hal mengenai penguasaan Amerika dan Israel ke atas Shah. Kempen ini diteruskan sehingga berlaku pemberontakan besar di Qom, Shiraz, Tehran dan Tabriz. Kesan daripada pemberontakan ini menyebabkan polis dan tentera terpaksa bertindak balas dan mengakibatkan sekurang-kurangnya 15,000 orang terbunuh. Khomeini menentang satu undang-undang kekebalan hokum bagi militer AS di Iran dan juga menentang bantuan sejumlah 200 juta AS dari pemerintah Washington.[8]

Tindakan Khomeini yang bertindak secara terbuka ini menyebabkan beliau telah ditangkap dan kemudiannya dibuang negeri ke Bursa, Turki. Pada tahun 1965, beliau telahpun dipindahkan ke Najaf, sebuah kota suci Syiah di Iraq dan seterusnya buat kali terakhir ke Perancis. Semasa di Najaf, penentangan terus dilakukan melalui proklamasinya (pengumuman khas) yang disebarkan secara sulit melalui kaset-kaset yang diedarkan ke suluruh wilayah Iran.
[9] Kaset-kaset yang mempunyai seruan kepada pengikutnya menentang kekuasaan monarki atau berisi kecaman terhadap Shah telah diseludup dan disebarkan melalui masjid-masjid di Iran.[10]

5.3 Menyeru penyokongnya memboikot Parti Restakhiz

Pada bulan Oktober 1971, Khomeini dengan keras menentang upacara peringatan 25 abad pemerintahan beraja yang telah dolancarkan oleh Shah yang telah menelan belanja sebanyak 300 juta, padahal sebahagian besar rakyat hidup dalam kemiskinan. Selain itu pada tahun 1975, Khomeini menyeru agar rakyat memboikot Parti Restakhz iaitu parti baru Shah yang kemudiannya dijadikan parti tunggal Iran dari 1975-1978.

Selain itu, Khomeini juga telah melancarkan mogok umum yang ternyata mendapat sambutan yang menggalakkan dari seluruh kalangan yang anti- Shah. Pada awal Jun 1978, beliau menjadi popular ekoran dari aktivitinya yang menganjurkan permogokan umum yang akhirnya membawa kepada penangkapan lebih kurang 800 orang mahasiswa Universiti Tehran. Selain itu pada 10 Oktober 1978 buat pertama kalinya foto dan pernyataan Khomeini di muatkan dalam surat khabar Iran. Khomeini juga mendapat sambutan yang hebat daripada para buruh minyak. Mogok yang dilakukan ini telah menyebabkan pengeluaran minyak turun secara drastik dan mengoncang ekonomi Iran.
[11] Ini menunjukkan bahawa Khomeini mendapat ramai para penyokong dalam menentang pemerintahan Shah.

5.4 Penubuhan Revolusi Iran (DRI)

Khomeini telah menubuhkan Dewan Revolusi Islam di Perancis pada 11 Januari 1979. dewan ini berperanan untuk meneruskan lagi penentangan terhadap Shah dan membentuk satu pemerintahan sementara Republik Islam Iran. Tindakan ini telah disambut dengan demonstrasi secara besar-besaran di Tehran pada 19 Januari 1979 yang menyokong Khomeini dan republik Islam. Sokongan kepada Khomeini mencapai kemuncaknya apabila kembali semula ke Iran. Khomeini kemudiannya kembali ke Bandar cusi Qom dimana beliau telah disambut secara besar-besaran sebagai pemimpin revolusi. Tindakan ini telah mengejutkan seluruh dunia terutama Amerika Syarikat. Ini adalah kerana rejim Pahlavi terkenal dengan kekayaan dan tenteranya tetapi dapat digulingkan oleh satu revolusi yang dipimpin oleh seorang ulama yang telah tua tanpa apa-apa senjata.
[12]

Jika dilihat, walaupun Khomeini tidak menggunakan senjata, tetapi beliau bijak dalam mengatur stategi iaitu berjuang melalui pidato-pidato, kaset dan demonstrasi. Khomeini meneruskan penulisannya banyak tentang pemerintahan Shah. Beliau menentang keras konsep pemisahan Negara dan agama. Misalnya dalam buku Hukumate Islam (pemerintahan Islam) yang diterbitkan pada tahun 1969 mengatakan bahawa konsep pemisahan agama dan Negara adalah satu cara yang dilakukan oleh agen-agen kolonialisme untuk mencegah perjuangan kaum Muslimin meraih kemerdekaan dan kebebasan.
[13] Hasil dari penulisan ini juga telah menaikkan semangat para penyokongnya untuk terus menentang pemerintahan Shah.

5.4.1 Ciri-ciri revolusi Iran

Ciri-ciri yang dibawa oleh Khomeini adalah bersifat relatif serta tidak menggunakan kekerasan. Apa yang luar biasa di Iran ialah, walaupun pemerintah menggunakan pelbagai rancangan bagi mematahkan semangat rakyat dan mengorbankan seramai 20,000 orang, namun pimpinan gerakan Khomeini berhasil mempertahankan sifatnya yang relatif tanpa kekerasan. Shah Iran digulingkan dari takhtahnya melalui demonstrasi jalanan pihak tentera yang selama ini digunakan bagi mematahkan kebangkitan rakyat akhirnya turut berpaling bersama-sama rakyat di dalam revolusi ini.

Ciri kedua revolusi ialah sesuatu yang baru, yang bermaksud tidak meniru model Barat atau Timur. Kaedahnya tidak menyamai revolusi yang telah berlaku di Amerika Syarikat, Perancis ataupun Rusia. Ini kerana revolusi yang berlaku di Perancis dan Rusia digerakkan oleh golongan sekular dan berfahaman komunis. Revolusi Iran digerakkan oleh mereka yang mempunyai latarbelakang agama yang mahu menubuhkan sebuah Negara Islam. Ini merupakan satu perkara yang baru di dalam politik dunia masa kini.

Ciri ketiga revolusi Iran yang dibawa oleh Ayatullah Khomeini adalah bersifat keagamaan. Khomeini misalnya menekankan bahawa peranan ulama dari agama ialah melakukan perjuangan politik untuk mencapai masyarakat yang lebih baik, yang bebas dari penindasan dan yang mengutamakan keadilan sosial rakyat. Ini kerana ketika itu, Shah Iran lebih mementingkan keluarganya dan golongan bangsawan menyebabkan kepentingan dan kebajikan rakyat terabai.

6.0 KESAN REVOLUSI IRAN

6.1 Sosial

Khomeini mahu membentuk sebuah Negara Islam, dimana kekuasaan sepenuhnya berada ditangan fuqaha iaitu mereka yang memiliki pemahaman tentang ajaran dan peraturan Islam secara memiliki keutamaan dalam iman dan akhlak.
[14] Gagasan Khomeini ini lebih dikenali sebagai wilayat al-faqih (pemerintahan para fuqaha). Gagasannya antara lain menyatakan:

Para alim ulama yang berhak menjadi penguasa dalam sebuah negara Islam adalah lelaki yang memiliki kecerdasan dan kepandaian yang luas sehingga mampu menggerakkan potensi masyarakat. Membentuk pemerintahan atau negara Islam, hukumnya wajib bagi setiap umat Islam, khususnya para alim ulama dimana pun mereka berada, kerana hal itu merupakan bahagian utama dalam akidah immamiyah. Negara atau pemerintahan Islam diperlukan demi tegaknya hukum-hukum Islam kerana apa-apa hukum pun tidak boleh dilaksanakan tanpa adanya suatu kekuasaan eksekutif. Di dalam negara Islam, para wakil rakyat tidak berhak membuat undang-undang kerana undang-undang atau dasar hukum (Islam) diperoleh secara langsung daripada Tuhan melalui al-Quran dan Hadis.

6.2 Politik (Pembentukan organisasi)

6.2.1 Dewan Revolusi Islam (DRI)

DRI telah dibentuk 3 bulan sebelum kejatuhan Shah, namun secara rasmi pembentukannya baru diumumkan pada 11 Januari 1979 di Perancis. Tujuan utama pembentukan ini adalah untuk meletakkan dasar-dasar Negara Republik Islam sebagaimana yang dikehendaki Khomeini dalam gagasannya mengenai wilayat al-faqih. Dasar organisasi DRI lebih kepada teori Howard Wriggins. Menurut Wriggins, organisasi dapat membentuk pasukan bersenjata, birokrasi, parti politik dan gerakan organisasi informal yang dibentuk seorang pemimpin yang mana anggotanya terdiri daripada orang-orang kepercayaan pemimpin yang berkebolehan dalam mendorong usaha-usaha pemimpin serta dapat melindungi pemimpin di saat-saat krisis.
[15]

Peranan utama DRI ini adalah untuk mengurangkan kuasa Shah serta membentuk pemerintahan sementara Republik Islam Iran (RII) disamping itu juga melakukan penangkapan dan menghukum bunuh para pengikut Shah yang pernah bertindak kejam. Walau bagaimanapun DRI telah dibubarkan oleh Khomeini pada 1980 apabila mereka telah berjaya menguasai parlimen.
[16]

6.2.2 Parti Republik Islam

Setelah Dewan Revolusi Islam dibubarkan, Parti Republik Islam (PRI) menjadi asas utama dalam mengukuhkan kedudukan mereka. PRI ditubuhkan pada 19 Februari 1979 oleh Ayatollah Khomeini Behesti yang sekaligus menjadi pemimpin parti tersebut. Behesti dikenali sebagai “orang nombor dua” yang berpengaruh di Iran dan seorang tokoh yang setia kepada Khomeini.

Di bawah pimpinan Khomeini, parti Republik Islam menjadi pemerintah tertinggi Negara. Kejayaannya menguasai pemilihan anggota perlimen dan dalam menundukkan kedudukan Bani Sadr 22 Jun 1980, menjadikan PRI sebagai kuasa politik terkuat Iran saat ini. Ini kerana adanya sokongan dari Khomeini, para ulama yang berpengaruh dan tidak ketinggalan juga golongan peniaga bazaar. Khomeini walaupun tidak menjadi anggota PRI, namun ia sangat berperanan dalam perjalanan parti tersebut termasuklah dalam perlantikan seorang pemimpin parti.
[17]

6.2.3 Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (Pasdaran).

Telah ditubuhkan pada 1979 yang bertujuan untuk melindungi revolusi. Pasukan ini kemudiannya telah disahkan di dalam artikel 150 Perlembagaan Islam sebagai fungsi menjaga kejayaan dan matlamat revolusi. Pembentukan pasukan ini juga bertujuan untuk menyatukan kelompok-kelompok bersenjata yang muncul pada akhir kekuasaan Shah oleh golongan ulama. Ini juga untuk memperkuatkan angkatan bersenjata Iran. Ia telah diletakkan di bawah pengawasan Ayatollah Mahdavi Kani iaitu seorang penasihat Khomeini.

Dari segi kewangan, pasukan ini mendapat bantuan dari Yayasan Mustaza’fin yang merupakan sebuah yang dibentuk oleh ulama yang bertindak membahagi-bahagikan harta milik Shah dan keluarganya untuk kepentingan umum. Selain daripada mendapat bantuan dari masjid-masjid dan dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi. Pasukan ini juga lebih kepada tentera rakyat kerana ia tidak menunjukkan perbezaan pangkat dan merupakan pasukan elit handalan golongan ulama.
[18]

6.3 Ekonomi

Kebijaksanaan dalam membangunkan ekonomi merupakan cara yang digunakan bagi memantapkan posisi golongan ini. Khomeini lebih menumpukan ekonomi bermula dari bawahan seperti lebih mengutamakan pembangunan sector pertanian dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat desa. Khomeini juga lebih banyak mengadakan hubungan dengan negara-negara Dunia Ketiga dalam usaha melepaskan diri dari terus bergantung kepada negara-negara besar seperti Amerika Syarikat.

Dalam bidang pertanian Khomeini telah bertindak dengan melakukan peningkatan pembelian harga beras dan gandum dari petani, memindahkan pemilikan tanah dari tuan tanah yang kaya kepada petani miskin (tanah yang diberikan oleh Shah), selain itu berusaha meningkatkan pengeluaran gandum dengan meluaskan kawasan penanaman gandum.

Manakala dalam bidang perkhidmatan pula tumpuan masih lagi kepada rakyat desa. Usaha ini dilakukan dengan meningkatkan jaringan perhubungan di desa-desa seperti jalan raya, telefon dan dari segi kesihatan pula dengan memberi rawatan percuma kepada rakyat miskin, menambahkan pembinaan-pembinaan rumah dengan memberikan tanah-tanah kosong kepada penduduk yang tidak mempunyai rumah serta membasmi buta huruf dikalangan rakyat dengan membangunkan sekolah di desa-desa.

Manakala dari segi perdagangan luar negeri, Khomeini telah mengadakan hubungan dengan negara-negara Dunia Ketiga, Eropah Barat dan Eropah Timur. Perdagangan meliputi seperti permaidani, buah-buahan, bahan ubat-ubatan dan baja. Manakala mengimport beberapa jenis bahan makanan seperti daging, keju, gula dan beras. Selain itu turut mengadakan kerjasama di bidang teknologi dan industri seperti pembangunan petrokimia di Iran Selatan. Iran juga mengirim sekitar 500 orang ahli pakar minyak untuk membantu negara-negara lain seperti Libya.
[19]

Bagi melaksanakan program-program ini, beberapa organisasi di bentuk seperti Jihat E-Sazandegi (jihad untuk pembangunan). Organisasi pembanterasan buta huruf, Yayasan perumahan, Yayasan Mustaza’afin, Yayasan Syuhada dan sebagainya. Organisasi dan yayasan tersebut berfungsi melaksanakan program-program pembangunan bagi kepentingan rakyat desa, rakyat miskin dan waris mangsa korban perang. Organisasi dan yayasan ini berjaya membina 23 ribu sekolah di desa-desa, 125402 unit rumah, menyalurkan elektrik sekitar 2 ribu desa dan telefon 685 desa, 516 klinik, 106 hospital, membahagikan tanah seluas 85 ribu kepada rakyat miskin dan sebagainya.

Kejayaan ini disebabkan kerana sokongan yang diberikan oleh pedagang bazaar dan kestabilan politik. Selain itu peranan ulama sendiri yang belajar melalui sejarah iaitu antara faktor kejatuhan Shah adalah disebabkan oleh pembangunan ekonominya yang kurang menyentuh lapisan masyarakat bawahan.

RUJUKAN

Araf Husain. 1985. Islamic Iran Revolutions and Counter Revolution. St. Martin Press. New York

Ervand Abrahamian. 1982. Iran Between Two Revolutions. Princeton University Press. New Jersey

Fadlullah Jamil. 2007. Islam di Asia Barat Moden: Sejarah, Penjajahan dan Pergolakan. Karisma Publications SDN. BHD. Shah Alam

Hamedi Mohd Adnan.1991. Krisis Timur Tengah. Penerbit Amal. Kuala Lumpur

Masih Muhajeri.1984. Dimensi Revolusi Islam. Islamic Media And Communications. Kuala Lumpur

M. Riza Sihbudi.1989. Dinamika Revolusi Iran: Dari Jatuhnya Shah hingga wafat Ayatollah Khomeini. Pustaka Hidayah. Jakarta.

Yusuf Abdullah Puar. 1980. Perjuangan Ayatullah Khomeini. Pustaka Antara. Jakarta

0 comments: